Tag Archive | demokrasi Islam

ISLAM DAN DEMOKRASI

KEMUNCULAN DEMOKRASI

Demokrasi berasal daripada perkataan Greek iaitu demos (rakyat) dan kratos (kekuasaan). Gabungan keduanya membentuk maksud kekuasaan rakyat. Demokrasi diperkenalkan pada zaman pemerintahan Greek di mana Athen adalah negeri pertama yang melaksanakan sistem ini. Seorang tokoh demokrasi Yunan bernama Apicorus (347-275 SM) menyebut; ‘Negara adalah satu permuafakatan untuk mendapat manfaat, ia dilakukan dalam semangat ikat janji.’ Semasa demokrasi dilaksanakan di Greek, seluruh rakyat mempunyai kesedaran yang penuh terhadap apa yang mereka lakukan. Semua golongan termasuk bukan warganegara Greek tampil memperdebatkan isu atau perinsip yang baik bagi masyarakat yang boleh diamalkan mereka.1

Demokrasi mula pupus apabila Kristian dengan konsep teokrasinya menguasai Greek. Ia muncul semula justeru ketidakpuasan hati terhadap pemerintahan oligarki beraja. Bermula pada tahun 1688, berlaku Revolusi Inggeris yang memperkenalkan suatu pemerintahan berparlimen di mana wakil rakyat berperanan memegang kuasa tertinggi dalam kerajaan. Revolusi ini menandakan golongan sederhana, profesional dan ahli perniagaan bangun menentang kuasa mutlak raja. Pada tahun 1776, tercetus pula Revolusi Amerika yang akhirnya memperkenalkan konsep demokrasi yang baru iaitu suatu pemerintahan daripada rakyat, untuk rakyat. Kebangkitan rakyat telah menular ke Perancis di mana pada tahun 1789 berlaku Revolusi Perancis yang merupakan titik permulaan pemodenan demokrasi secara keseluruhannya. Antara prinsip yang lahir daripada revolusi ini ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh Rousseau mengenai konsep Kehendak Umum atau General Will iaitu:
(a) Berkenaan deklarasi hak sesama manusia dan warganegara.
(b) Pelaksanaan perlembagaan Perancis dalam pemerintahan negara Perancis pada tahun 1971.
(c) Lahirnya teori pengasingan kuasa.2

Setelah demokrasi mengalami revolusi di beberapa tempat di Eropah, ia semakin diterima oleh masyarakat Barat. Selepas itu, demokrasi berubah secara evolusi melalui beberapa proses pemodenan sesuai dengan keadaan persekitarannya atau dengan kata lain sesuai dengan keadaan sesebuah negara. Pelaksanaan sistem pemerintahan ini bukan setakat di negara Barat, malah menular ke negara-negara yang dijajah oleh mereka di serata dunia termasuk di negara umat Islam hari ini. Ini dibuktikan dengan komitmen mereka khususnya Britain dalam menentukan dasar supaya dasar pemerintahan negara-negara Islam supaya sejajar dengan kehendak dan kepentingannya. Hari ini, justeru dominasi dan promosi Barat terhadap sistem ini sebagai suatu sistem unipolar yang mampu membangunkan tamadun manusia yang gemilang, demokrasi muncul sebagai suatu sistem yang begitu berpengaruh berbanding dengan ideologi lain ciptaan manusia.

Berdasarkan sorotan ringkas di atas, nyatalah bahawa demokrasi bukan berasal dari Islam. Islam menerusi Al-Quran telah memperkenalkan sistem politiknya yang tersendiri dengan mengutarakan prinsip asas manusia sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Perincian dan amalan konsep ini dijelaskan secara sistematik oleh Rasulullah (saw) dan diteruskan oleh Khalifah al-Rashidun selepasnya. Walaupun sistem ini diakui mempunyai beberapa persamaan dengan ajaran Islam seperti syura dan kebebasan bersuara, ia dikritik sebagai suatu gagasan pemikiran manusia yang bercanggah dengan sistem wahyu Ilahi yang muktamad. Antara kritikan tersebut ialah kelahiran parti-parti politik yang saling merebut kekuasaan dikatakan bakal mencetuskan perpecahan dalam kalangan orang Islam walaupun ia cuba dijustifikasikan dari segi syarak. Al-Wasfi mengingatkan bahawa antara pengaruh yang paling ketara sebagai natijah daripada pengintegrasian demokrasi dengan Islam adalah penubuhan parti politik yang merupakan satu penghinaan kepada Islam justeru ia boleh membawa kepada perpecahan dan bertentangan dengan Islam.3

Namun pandangan ini dibantah oleh sarjana Islam seperti Prof. Muhammad Asad yang menyarankan bahawa dalam masyarakat yang kompleks seperti multi-racial society, tiada bentuk perundingan lain yang boleh dijalankan selain daripada amalan pemilihan. Dalam amalan ini, perwatakan atau sifat calon parti masing-masing dibincangkan secara terbuka dan dikuti dengan pembuangan undi.4 Menurut golongan ulama yang menerima sistem demokrasi ini mereka mengakui bahawa demokrasi bukanlah merupakan sistem yang berasal dari Islam tetapi masih boleh diterima kerana mempunyai ciri-ciri yang selari dengan Islam. Pengamal demokrasi tidak harus dilabelkan secara automatik sebagai mereka yang menolak sistem Islam secara muktamad. Dr. Yusuf Qardhawi berpandangan; “tidak semestinya orang yang menyeru kepada demokrasi menolak hakimiyah Allah kepada manusia. Bahkan perkara ini langsung tidak terlintas dalam hati orang yang melaungkan demokrasi. Apa yang mereka maksudkan dan inginkan ialah menolak kediktatoran dan pemerintahan kuku besi raja-raja yang zalim dan sombong dalam mentadbir urusan rakyat yang dinamakan oleh hadis sebagai raja yang memutuskan ataupun raja yang takbur dan zalim.”5 Ringkasnya walaupun demokrasi mendapat kritikan hebat dalam kalangan para ulama, ia masih diperakui sebagai suatu sistem yang hampir-hampir menjiwai semangat Islam yang mementingkan hak kebebasan bersuara dan anti-penindasan itu.

ANTARA DEMOKRASI DAN POLITIK ISLAM

Secara praktisnya, demokrasi diterima oleh sebahagian gerakan politik Islam yang menjadi pelopor demokrasi di dunia Islam khusus selepas mewarisinya dari penjajah Barat. Umat Islam seolah-olah tidak mempunyai pilihan selain menerima sistem yang dipaksakan ini tanpa membandingkannya dari sudut Islam. Hakikat ini ditegaskan oleh Dr. Mahathir iaitu; “For example, the pragmatic South-East Asian Muslims have adopted democratic practices, institutions and systems without much regards for their correspondence with Islamic ideology.”6 Penerimaan demokrasi secara keterlaluan berlaku khususnya bagi mereka yang dijoloki sebagai golongan modernis dan bergerak pada landasan ideologi perjuangan nasionalis dan sekularis yang akur bahawa demokrasi adalah suatu sistem yang terbaik bagi zaman ini. Bahkan ada antara mereka yang bermati-matian mempertahankan bahawa demokrasi ciptaan Barat itu adalah segala-galanya sehingga mengenepikan Islam sebagai suatu agama yang lengkap dan syumul.

Bagi golongan politik Islam yang berpandangan sederhana, sistem demokrasi boleh diserasi dan dimanfaatkan untuk perkembangan politik Islam, manakala segelintir yang lain menolak dan menganggapnya sebagai bertentangan dengan roh syariat Islam. Mereka secara ekstrim menolak demokrasi dan menganjurkan cara kekerasan sehingga mencetuskan imej buruk kepada gerakan politik Islam itu sendiri.7 Secara perbandingan, pandangan golongan politik Islam yang berhaluan moderate ini mungkin boleh dimajukan sebagai suatu sikap dan pendekatan yang harmonis dalam mendepani demokrasi sebagai suatu sistem yang berbeza dengan Islam. Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi, aliran keadilan ini mempunyai ciri-ciri seperti:
1. Memahami agama dengan cara menyeluruh, seimbang dan mendalam.
2. Memahami realiti kehidupan dengan lengkap. Semuanya diambil kira, sama ada realiti kaum Muslimin ataupun realiti musuh-musuh Islam.
3. Memahami benar sunnah Allah Taala yang berlaku dalam kehidupan ini yang tidak pernah berubah dan berganti, khususnya sunnah Allah yang bersangkutan dengan kehidupan alam manusia.
4. Memahami maqasid shariat secara syumul dan tidak bersikap statik terhadap makna-makna yang zahir sahaja.
5. Memahami erti keutamaan dan prioriti dalam langkah-langkah perjuangan yang berkaitan langsung dengan kefahaman perundangan antara tugas-tugas yang sedang berlangsung.
6. Memelihara cara keterbukaan dan tolak ansur dalam urusan khilafiyyah dengan aliran-aliran perjuangan Islam yang lainnya. Kaedah mereka adalah bekerjasama dalam perkara-perkara yang disepakati dan saling memaafkan dalam perkara-perkara yang diperselisihkan.
7. Menggabungkan antara aliran Salafiyyah dan pem-baharuan atau dengan kata lain antara ciri keaslian dengan tuntutan moden.
8. Memadukan antara keaslian hukum syarak dengan perubahan zaman.
9. Yakin bahawa pembaharuan pemikiran, jiwa dan sikap adalah asas utama kepada pembaharuan peradaban.
10. Menampilkan Islam sebagai satu-satunya alternatif dalam pembangunan peradaban manusia yang bersepadu dan menyeluruh demi menyelamatkan mereka daripada kongkongan dunia materialisme.
11. Kelonggaran dalam perkara fatwa dan memberikan khabar gembira dalam dakwah.
12. Menampilkan nilai-nilai murni Islam dalam bidang sosial dan politik seperti kebebasan, kemuliaan, syura, keadilan sosial dan pemeliharaan hak-hak asasi manusia.
13. Membuka pintu untuk berdialog dengan pihak-pihak lain iaitu dengan golongan bukan Islam atau dengan kelompok Muslimin yang telah terjajah pemikiran dan mentalitinya dengan pengaruh dunia Barat.
14. Menjadikan Jihad sebagai satu cara untuk melindungi kemuliaan umat Islam dan negaranya.8
Ringkasnya, ciri-ciri di atas memupuk sikap dan pendekatan mereka terhadap demokrasi yang dapat dirumuskan sebagai:
1. Memperakui bahawa demokrasi yang diamalkan hari ini bukanlah suatu sistem yang berasal dari Islam.
2. Memperakui demokrasi mempunyai ruang yang dibenarkan oleh syarak untuk menegakkan sistem politik Islam.
3. Berkeyakinan bahawa politik Islam mampu membangun tamadun Islam dalam konteks sistem demokrasi.
4. Menyedari keperluan penyelarasan yang harmonis bagi menukar sistem demokrasi kepada sistem pemerintahan Islam secara menyeluruh.
5. Ingin menegakkan satu sistem Islam yang syumul berbanding amalan demokrasi atau teokrasi Barat merupakan matlamat akhir gerakan politik Islam.
6. Percaya bahawa tamadun Islam yang sebenarnya dapat ditegakkan setelah wujudnya sebuah negara Islam yang bebas dari dominasi Barat.

Golongan aliran sederhana yang terdapat di atas menyertai demokrasi pada hampir seluruh negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi. Secara teorinya pendemokrasian gerakan Islam aliran ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama; demokrasi dapat dijadikan sebagai batu loncatan kepada arus kebangkitan Islam atau Islamisasi yang berlaku di negara Islam. Kedua; gerakan Islam akur terhadap realiti umat Islam yang menjadi mangsa penjajahan Barat dan menerima sistem ini secara terpaksa. Ketiga; demokrasi membenarkan gerakan Islam bersuara dan mengkritik sebagai pembangkang. Mereka boleh menjadi saingan kepada pemerintahan dalam menawarkan pemerintahan yang lebih baik Keempat; demokrasi menjamin hak asasi manusia dan kebebasan berdakwah yang boleh digunakan bagi menonjolkan memurnian Islam. Kelima; demokrasi dapat mengikis imej radikal, ekstrem dan ganas yang sering dikaitkan dengan gerakan Islam semasa.9

KESIMPULAN

Berdasarkan sorotan ringkas di atas, tidak dinafikan lagi bahawa walaupun demokrasi bukanlah merupakan suatu sistem yang Islamik sepenuhnya, tetapi ia boleh dimanfaatkan akhirnya oleh gerakan politik Islam yang mempunyai perspektif yang terbuka dalam menangani kemelut politik ummah secara lebih berhikmah dan terbuka. Persoalan pro dan kontra yang meliputi isu politik Islam dan demokrasi bukanlah merupakan suatu isu yang tidak dapat diselesaikan secara harmonis. Hubungan antara gerakan politik Islam dan demokrasi terbukti dapat dipadukan meskipun berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran. Cabaran kepada pencinta politik Islam dan demokrasi ialah bagaimana pelaksanaan gerakan politik Islam dalam kerangka demokrasi dapat mencapai maksud siasah syariyyah yang mementingkan matlamat keadilan dan keamanan umat manusia, serta mampu meraikan hak kebebasan asasi manusia seluruhnya. Gerakan politik Islam akan sirna makna dan kekuatannya jika tidak mampu bersifat demokratik, manakala demokrasi pula hanya akan hanyut tanpa kawalan wahyu sekiranya tidak dikendalikan oleh konsep dan manhaj politik Islam. Mungkinkah kedua-dua pola yang dasarnya pada pandangan kasarnya terlalu ekstrem untuk dipadukan dapat ditadbir dan diurus dengan harmonis atau satu daripadanya terpaksa akur dengan yang lain. Inilah yang menjadi cabaran kepada gerakan Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia yang khususnya menjadikan politik dan demokrasi bagi tujuan mencapai matlamat dakwah mereka.

Nota Hujung
1 Muhammad Pisol, Jihad Dalam Politik & Persoalan Negara Islam Mengikut Pandangan Sa’id Hawwa, Bahau: M. Khai Enterprise, t.th., hlm. 82-83.
2 Ahmad Redzuwan Mohd Yunus, Demokrasi dan Kepimpinan Islam Suatu Perbandingan, Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2001, hlm. 3-4.
3 Ahmed al-Khatib, ‘Islamic Thought and Political Parties’, Islamic Order Quarterly, jil. 10, no. 1, 1988, hlm. 151.
4 Muhammad Asad, The Principle of State and Government in Islam, Gibraltar: Andalus Publications, 1976, hlm. 45.
5 Yusuf al-Qardhawi, (ter. Juanda Jaya), Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam, Selangor: Maktabah al-Qardhawi, 1998, hlm. 224.
6 Imtiaz Yusof, ‘Islam and Democracy in Thailand: Reforming the Office of Chulalrajmontri/Shaikh al-Islam’, Journal of Islamic Studies, New York: Oxford University Press, 1998, hlm. 277.
7 Sila lihat klasifikasi gerakan Islam moderat dan militan dalam R. Hrair Dekmejian, Islam in Revolution Fundamentalism in the Arab World, 2nd. Edition, New York: Syracuse University Press, 1995.
8 Lihat Yusof Qardhawi, Fiqh Keutamaan Satu Kajian Baru Dari Perspektif al-Quran dan al-Sunnah, diterjemah oleh Ahmad Nuryadi Asmawi Batu Caves: Thinkers Library, 1996.
9 Mohd Izani Mohd Zain, Pendemokrasian Gerakan Islam, Pemikir, bil. 23, Januari-Mac 2003.

Artikel ini hanya sebahagian kecil daripada bab dalam buku karangan PM Dr. Badlishisham Mohd Nasir, Dinamisme Gerakan Islam dan Cabaran Semasa, (Karisma, 2009). Huraian yang lebih panjang mengenai politik dan gerakan Islam di Malaysia boleh didapati dalam buku ini.