Archives

PLASTIK KURANG!! POLISTERINE BILA LAGI?

Sempena tahun 2011, kerajaan mengetatkan penggunaan beg plastik. Ia seolah-seolah impian menjadi kenyataan. Pucuk dicita ulam mendatang. Sudah lama saya menunggu peluang agar penggunaan plastik dikurangkan. Ini kerana memikirkan bahayanya pada alam sekitar pada masa hadapan. Saya sering tidak berpuas hati apabila barang-barang sering diasing-asingkan oleh juruwang mengikut kategori, kadang-kadang satu plastik hanya satu barang sahaja. Saya sering menegur dengan meminta mereka memuatkan di dalam beg plastik yang sama agar dapat meminimumkan penggunaannya. Kadang-kadang beg plastik tersebut langsung tidak dapat digunakan semula untuk menjadi beg sampah sama ada saiz yang kecil, bocor atau terlalu nipis.Disebabkan tidak suka dengan beg plastik yang banyak saya sering membeli beg membeli-belah yang boleh digunakan semula. Jika lupa bawa, saya membeli yang baru, oleh itu saya mempunyai banyak koleksi beg serbaguna yang boleh dikitar semula.

Persoalannya adakah masyarakat kita menyambut baik akan langkah kerajaan ini? Kajian menunjukkan lebih 500 bilion beg plastik diguna oleh penduduk dunia setiap hari dan lebih sejuta digunakan setiap minit di mana berbilion-bilion beg plastik akhirnya menjadi sampah setiap tahun.  Beg plastik tidak dapat lupus dengan sendiri dan sekiranya dibakar ia akan membebaskan karsinogen iaitu satu bahan yang boleh menyebabkan kanser. Sekiranya ditanam pula bahan toksin di dalam plastik boleh memasuki air minum kita seterusnya membahayakan kesihatan.   Sejauh manakah kesedaran kita terhadap bahaya penggunaan beg plastik dalam aktiviti seharian? Kadang-kadang buang sampah pun tidak kena pada tempatnya, dan banyak lagi aktiviti yang tepat mengatakan masyarakat kita (walaupun bukan semua) masih lagi minda kelas ketiga!!!!

Beralih pada penggunaan polisterine yang digunakan secara meluas pada hari ini. Pengeluarannya amat menggembirakan peniaga. Ia lebih murah daripada kertas pembungkus yang digunakan sebelum ini. Namun ia amat berbahaya pada pengguna jika digunakan dengan kerap. Adakah pengguna dan peniaga peka keadaan ini? Polisterine juga mempunyai bahan yang mampu menyebabkan barah kepada manusia. Apabila makanan panas diletakkan di atasnya, ia akan mencairkan bahan kimia yang digunakan dalam proses pembuatan polisterine tersebut.

Penggunaan polistrine buat masa ini hanya diharamkan di sekolah dan institut pengajian tinggi. Tiada kempen mengehadkan penggunaannya di media buat masa ini. Oleh itu penggunaannya berleluasa yang boleh dikatakan di mana-mana sahaja. Paling membimbangkan trend kini kerana malas, atau entah apa sebabnya, kenduri kendara pun nak pakai polisterine.

Perkara ini sepatutnya difikirkan oleh para saintis kita untuk menghasilkan bekas makanan yang boleh dikitar semua dan tidak membahayakan kesihatan. Bilakah masa itu akan sampai?

Sanggupkah kita melihat generasi akan datang jadi begini?

Nota hujung/Rujukan

1. Bahaya penggunaan pembungkus makanan polisterin

2. Wikipedia.

3. Utusan Online 27/1/2010.