Archives

Siapa Parameswara?

(Kepada orang Melayu Islam) Kalau cakap kang kita keturunan Tamil, kita marah. Kalau cakap kang banyak ikut Hindu, kita tersinggung. Tapi masih minat tengok cerita Hindi, masih bersanding-sanding masa kahwin, make up inai mashaAllah, ribu riban duit habis, masih tabur beras kunyit dan sebagainya. Jadi mengakulah kita banyak dipengaruhi oleh budaya Hindu. Tanah Melayu juga dahulu pernah dikuasai oleh Empayar Srivijaya, dan sultan Melaka pun berasal dari Majapahit. Benarkah sultan Melaka berasal dari putera raja beragama Hindu? Mari baca asal usul Parameswara berdasarkan pandangan penulis Ismail Azman Omar.

Parameswara dikatakan membuka Melaka setelah melihat keberanian pelanduk menendang anjng buruannya.

Siapa Parameswara?

Dalam buku The Malay Sultanate of Malacca, dengan meneliti pelbagai sumber yang membicarakan mengenai Melaka tradisional dan kesultanannya, Muhammad Yusoff Hashim membuat kesimpulan bahawa pengasas kerajaan tersebut ialah Parameswara, suatu nama besar dalam hal politik orang Melayu. Putera itu datang secara terus dari Palembang dan berasal daripada keturunan ‘orang ternama’ (raja) dalam kerajaan Srivijaya. Pada mulanya, Parameswara telah memerintah di Singapura selama beberapa tahun. Setelah meninggalkan pulau tersebut, Parameswara akhirnya telah mengasas, membentuk dan menerajui kesultanan Melayu Melaka bermula di sekitar tahun 1399-1400. Menurut Emanuel Godinho de Eredia, putera dari Palembang yang disebutnya sebagai Permicuri telah melarikan diri daripada serangan Majapahit ke atas pusat pemerintahannya. Baginda telah menyeberang ke Ujontana atau Semenanjung Tanah Melayu, dan selanjutnya telah menuju ke Singapura.

Parameswara terpaksa melarikan diri dari Palembang-Jambi apabila diserang oleh orang-orang Majapahit disebabkan baginda tidak mahu diletakkan di bawah kekuasaan betara Majapahit yang baru dilantik, dan tidak mahu Palembang-Jambi terus menjadi negeri yang bernaung di bawah kerajaan empayar tersebut. Berikutan dengan itu baginda telah menyeberang ke Singapura dan menjadi pemerintah di sana.

Parameswara tidak lama memerintah di Singapura kerana sekali lagi baginda telah melarikan diri dari pulau tersebut, pada masa itu akibat daripada serangan Raja Pahang pula. Raja Pahang dikatakan mendendaminya kerana Parameswara telah membunuh saudara raja tersebut, iaitu Xabandar (atau Syahbandar), pentadbir Singapura agar membolehkannya menjadi raja di sana. Wajar diingat bahawa pada masa itu Singapura merupakan tanah jajahan takluk Pahang (dikenali juga sebagai Pam atau Indera Pura yang difahami sebagai seluruh bahagian selatan tanah besar Semenanjung), manakala pada masa itu Pahang merupakan tanah jajahan naungan kerajaan Siam. Sesungguhnya Xabandar merupakan wakil Raja Pahang untuk menguruskan aktiviti perdagangan laut di sana dan beliau malahan adalah saudara kepada raja tersebut.

Ekoran daripada serangan Pahang itu tadi, sekali lagi Parameswara telah melarikan diri lalu berlepas ke tanah besar Semenanjung dan akhirnya baginda tiba di sebuah petempatan nelayan yang terletak berhampiran dengan kuala Rio Aerlele (Sungai Air Leleh) yang berpunca dari Buquet China (Bukit Cina). Di petempatan itu Parameswara menitahkan supaya dibangunkan sebuah negeri dan dinamakannya Melaka. Perkataan Melaka diambil daripada nama sejenis pokok, iaitu Myrobalans menurut sebutan orang Portugis ataupun nama tempatannya disebut sebagai Melaka.

Berhubung Parameswara, sejarawan mutakhir cuma mencatatkannya sebagai ‘putera dari Palembang’, atau kadangkala sebagai ‘Raja Malayu’ yang berpusat di Palembang-Jambi, dan ada masanya sebagai ‘permaisura, suami kepada puteri Majapahit’. Maklumat mengenai individu yang digelar Parameswara sungguh banyak tetapi pengenalan diri serta susur-galur keturunannya tetap kabur dan tidak begitu jelas. Berhubung dengan perkara tersebut, maklumat-maklumat yang dicatatkan oleh individu-individu dan juga para pengkaji sejarah mutakhir dari beberapa sumber dan kemudian dilakukan interpolasi tarikh, nama, peristiwa, tempat atau yang seumpamanya, akan dapat ditelusuri semula genealogi anak raja Palembang itu. Seandainya dapatan dalam bentuk genealogi yang dikonstruksi nanti kemungkinannya tidak begitu tepat, tetapi dapat menokok tambah gambaran mengenai asal-usul individu itu.

Tinjauan wajar dimulakan dengan menelusuri zaman kejatuhan kerajaan Srivijaya di Palembang-Jambi, Sumatera dan mengaitkannya pula dengan sejarah kejumudan kerajaan Singosari dan terbentuknya kerajaan Majapahit di Pulau Jawa. Wajar ditegaskan bahawa sejak abad ke-14, bermula dengan Kertanegara dari kerajaan Singosari, kekeluargaan raja-raja Srivijaya, Singosari dan Majapahit saling terjalin melalui perkahwinan. Keturunan Parameswara/Permaisura pun dipercayai berpunca daripada susur galur kekeluargaan diraja Srivijaya yang bersemenda dalam kekeluargaan diraja Majapahit. Dalam hal tersebut, keturunan Parameswara dalam kekeluargaan Srivijaya ternyata dari nasab ibu yang bermula dengan Dara Petak dan Dara Jingga manakala dalam kekeluargaan Majapahit pula dari nasab bapa bermula dengan Vijaya ataupun Kertarajasa Jayavarddhana.

Pada tahun 1292, Kertanagara (keturunan daripada Ken Anggrok atau Rajasa, betara Singosari bersama permaisurinya Ken Dedes) telah dibunuh oleh Jayakatwang, seorang putera dari kerajaan Kediri. Berikutan dengan itu Jayakatwang telah menaiki singgahsana Singosari buat seketika pada tahun yang sama (1292) tetapi baginda telah disingkirkan oleh Vijaya tiada berapa lama setelah itu.

Pada hayat Kertanagara dahulu, baginda mempunyai empat orang puteri sebagai ‘anak angkat’; dua orang daripadanya adalah puteri dari Palembang, anak Maulivarmadeva yang dibawa bersama oleh   angkatan perang Pamalayu yang kembali ke Pulau Jawa setelah menyelesaikan misinya menyerang Palembang-Jambi. Seorang lagi puteri itu didatangkan dari Campa manakala  seorang lagi tidak dikenali dan tidak pula terkenal.

Kertanagara telah mengahwinkan Dara Petak dengan Vijaya, raja di Brantas yang telah menyingkirkan Jayakatwang dan berjaya merampas semula singgahsana Singosari. Vijaya telah menggantikan mentuanya (Kertanagara) dengan gelaran Kertarajasa Jayavarddhana (1293-1309) dan sekaligus mengasaskan kerajaan Majapahit. Apabila baginda mangkat, anaknya yang dilahirkan oleh Dara Petak, Jayanagara (1309-1328) pula menggantikannya sebagai betara Majapahit yang kedua.

Selain mengahwini Dara Petak, Kertarajasa turut berkahwin dengan seorang lagi puteri angkat Kertanagara, iaitu Gayatri. Dari perkahwinan itu lahir Tribhuvana (1328-1350) yang kemudiannya menggantikan saudara tirinya (Jayanagara) di atas singgahsana Majapahit mulai tahun 1328. Tahun 1350, Tribhuvana telah menyerahkan singgahsana kepada anaknya Hayam Wuruk yang diberikan gelaran Rajasanagara (1350-1389).

Seorang lagi puteri angkat Kertanagara ialah Dara Jingga yang didakwa telah melalui perkahwinan menurut ‘upacara-bhairava’ dengan   Kertarajasa  juga dan kemudian puteri tersebut telah dihantar semula ke Malayur (Jambi) untuk dikahwinkan selanjutnya dengan raja Srivijaya, Visvarupakumara yang dikatakan seorang daripada anak kepada Maulivarmadeva. Pada masa itu Visvarupakumara berada di atas takhta kerajaan Srivijaya menggantikan ayahnya Maulivarmadeva.

Pada kurun yang ke-13, kerajaan Srivijaya mula mengalami kejatuhan kerana digugat oleh serangan pihak Tai dari lembahan Menam dan juga pihak Singosari (Jawa Timur). Keadaan menjadi semakin buruk akibat kemerosotan perdagangan di pelabuhan Palembang-Jambi kerana terpaksa bersaing dengan pelabuhan-pelabuhan di bahagian utara Pulau Sumatera seperti Samudera, Lamuri dan Perlak. Pada waktu itu barang-barang dagangan dari sebelah Lautan Hindi sangat kurang sampai ke pelabuhan Palembang-Jambi, dan tambahan lagi pedagang-pedagang Cina memperoleh hampir kesemua barangan dari atas angin itu tanpa perlu melalui pelabuhan Palembang-Jambi.

Pada masa dinasti Ming mula-mula menaiki takhta empayar Cina, Palembang telah menghantar utusan kepada Maharaja Cina dalam tahun 1374 bagi mendapatkan pertolongan untuk melepaskan Palembang-Jambi daripada naungan Majapahit. Selanjutnya dalam tahun 1377, Maharaja Cina telah menghantar utusan balas untuk mengiktiraf kedaulatan Raja Palembang-Jambi. Sebelum utusan itu tiba di Palembang, pihak Majapahit telah memintas dan menangkap utusan tersebut lalu dibawa ke Pulau Jawa dan mereka telah dibunuh di sana. Menurut sejarawan mutakhir, Raja Palembang-Jambi yang hendak diberikan surat pengiktirafan sebagai pemerintah kerajaan Srivijaya ialah Adityavarman yang menggantikan ayahnya Visvarupakumara.

Seyogia diingat, Adityavarman adalah putera yang dilahirkan oleh Dara Jingga yang berkahwin pada mulanya menurut ‘upacara-Bhairava’ dengan Kertarajasa dan kemudian dihantar semula ke Palembang untuk dikahwinkan buat kali kedua dengan Visvarupakumara. Pada masa itu pusat pemerintahan Visvarupakumara terletak di Palembang dan baginda disebut sebagai Raja Palembang. Walau bagaimanapun Adityavarman dikatakan memerintah sebahagian besar Pulau Sumatera tetapi masih berada di bawah naungan kerajaan Majapahit.

Sekalipun Adityavarman secara rasmi diiktiraf oleh Maharaja Cina sebagai Raja Malayu tetapi baginda tidak berjaya mengembalikan kegemilangan kerajaan Srivijaya dan memajukan semula pelabuhan-pelabuhan Palembang dan Jambi.  Akibatnya,  kerajaan Srivijaya semakin jumud dan terus berakhir. Baginda tidak lagi mengekalkan takhta kerajaan tinggalan ayahnya Visvarupakumara dan datuknya Maulivarmadeva di Palembang tetapi sebaliknya telah memindahkan pusat pemerintahan ke Jambi dan baginda bergelar Raja Malayu. Di pusat pemerintahan yang baru itu, Adityavarman lebih menumpukan perhatiannya kepada memperluaskan pengaruh ke wilayah-wilayah di pedalaman Pulau Sumatera atau tegasnya kawasan orang Minangkabau.

Dua dekad kemudian atau lebih tepat lagi dalam tahun 1397, Majapahit telah mengisytiharkan secara rasmi kepada Maharaja Cina tentang ketuanannya ke atas Palembang-Jambi. Pihak Cina mendapati bahawa kota Jambi telah dimusnahkan sama sekali semasa orang-orang Majapahit melaksanakan penaklukan ke atas pusat pemerintahan kerajaan Srivijaya hingga menyebabkan raja yang memerintah di sana lari untuk menyelamatkan diri dengan menyeberang ke tanah besar Semenanjung. Jika peristiwa pelarian itu dikaitkan dengan sejarah raja-raja di Pulau Jawa, nyatalah serangan ke atas Jambi telah dilakukan oleh Vikramavarddhana; manakala Raja Malayu yang diserang dan melarikan diri meninggalkan pusat pemerintahan di Jambi sewajarnyalah Adityavarman.

Serangan Majapahit ke atas Jambi pada tahun tersebut berpunca daripada persengketaan antara Vikramavarddhana dari Majaphit dan iparnya Virabumi di Jawa Timur. Untuk memahami latar belakang terjadinya persengketaan itu wajar ditinjau terlebih dahulu senario kerajaan Majapahit dari era pemerintahan Hayam Wuruk (Rajasanagara).

Hayam Wuruk tidak mempunyai anak gahara yang layak menggantikannya di atas singgahsana kerajaan Majapahit. Sebaliknya baginda mempunyai seorang anak yang dilahirkan oleh permaisuri dari keturunan orang kebanyakan ataupun gundik diraja, iaitu Virabumi. Oleh sebab Virabumi bukan anak gahara untuk dilantik menjadi betara Majapahit bagi menggantikannya, Hayam Wuruk sebaliknya telah meletakkan puteranya itu di Jawa Timur untuk memerintah di sana.

Pada masa yang sama, Virabumi telah dikahwinkan dengan sepupunya, iaitu adik kepada Vikramavarddhana. Di samping itu Vikramavarddhana telah berkahwin dengan kakak kepada Virabumi yang juga sepupu dan iparnya tetapi puteri tersebut diyakini adalah kelahiran permaisuri biasa yang bukan bertaraf Ratu Majapahit. Disebabkan tidak ada putera mahupun puteri anak gahara yang dilahirkan oleh Permaisuri Utama atau Ratu Majapahit, oleh yang demikian Vikramavarddhana telah mendapat peluang yang besar untuk menggantikan ayah saudara yang juga mentuanya sebagai betara Majapahit.

Apabila Vikramavarddhana menggantikan Hayam Wuruk, iparnya Virabumi yang memerintah Jawa Timur enggan mengakui ketuanannya dan tidak mahu tunduk di bawah kekuasaan kerajaan Majapahit. Pada kesempatan itu Adityavarman dari kerajaan Srivijaya pun dikatakan turut mengikut jejak langkah iparnya (Virabumi) lalu mengisytiharkan keengganannya  untuk terus taat setia kepada Vikramavarddhana serta tunduk di bawah kekuasaan kerajaan Majapahit. Akibat daripada tindakannya itu pusat pemerintahannya telah diserang dengan hebat, dan menurut pemerhatian orang-orang Cina, Jambi telah musnah sama sekali, manakala Raja Malayu terpaksa melarikan diri ke tanah besar Semenanjung.

Walau bagaimanapun, tidak pula dapat dipastikan dengan tepat tentang kaitan antara Adityavarman dengan Vikramavarddhana dan juga Virabumi. Adalah diandaikan bahawa Adityavarman telah berkahwin dengan salah seorang anak Hayam Wuruk, sama ada puteri yang sama seibu dengan isteri Vikramavarddhana ataupun puteri daripada permaisuri yang lain, atau puteri anak gundik. Andaian ini dibuat kerana sejarawan mutakhir mendakwa bahawa sesungguhnya Adityavarman adalah suami kepada seorang ‘puteri Majapahit’.

Genealogi

Daripada maklumat ringkas tentang sejarah Srivijaya/Singosari/Majapahit yang di atas tadi menurut sebagaimana yang dikemukakan oleh sejarawan mutakhir, oleh yang demikian dapatlah ditelusuri genealogi betara-betara dan raja-raja ketiga-tiga buah kerajaan itu tadi.

Berpandukan kepada genealogi raja-raja Srivijaya/ betara-betara Singosari dan Majapahit itu tadi, dapatlah ditelusuri susur galur kekeluargaan Adityavarman. Sebelum ini telah pun disebutkan bahawa Adityavarman telah menjadi pelarian bermula dari tahun 1397-98. Hal tersebut bertepatan dengan peristiwa Parameswara yang melarikan diri dari Palembang-Jambi dan malahan pada tempoh masa yang hampir sama. Dalam hal ini, mungkinkah Adityavarman itu Parameswara? Seandainya perkara tersebut benar, adalah diandaikan bahawa Adityavarman telah menanggalkan namanya itu dan menggelarkan dirinya sebagai Parameswara sahaja, barangkali untuk mengelirukan orang-orang Majapahit dan sekaligus melindungi dirinya daripada terus dihambat oleh Vikramavarddhana.

Jika  hipotesis  itu  boleh  diterima,  tidaklah  menghairankan melihat sumber Portugis seperti tulisan Emanuel Godinho de Eredia yang menyebutnya sebagai Permicuri (ataupun Paramjcura oleh Tome Pires), dan sejarawan mutakhir seperti Wang Gungwu, O.W. Wolters (dan lain-lain lagi) mendakwa bahawa Parameswara menjadi raja di Palembang selama tiga tahun (1388-89, 1390-91) sebelum melarikan diri ke Singapura (ibid.) setelah diserang oleh iparnya (atau biras, tetapi Eredia menyatakan sebagai ayah mentua), Vikramavarddhana yang menggantikan Hayam Wuruk sebagai betara Majapahit dalam tahun 1389.

Namun begitu, seandainya bukan Adityavarman yang mengasaskan Melaka tradisional di sekitar tahun 1402, oleh yang demikian pelarian dari Jambi yang menyeberang ke tanah besar Semenanjung dahulu pastilah individu lain, atau tegasnya ‘Parameswara’ sebagaimana yang dikenali hampir semua sejarawan mutakhir. Walau bagaimanapun terdapat satu lagi nama, iaitu Raja Iskandar Syah sebagaimana yang dicatat oleh Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu dikatakan telah membuka Melaka tradisional. Apakah Parameswara itu Raja Iskandar Syah, ataupun dua orang individu yang berlainan, tetapi bukan Adityavarman yang mungkin melarikan diri ke tempat lain dan tidak semestinya ke tanah besar Semenanjung?

Parameswara-Raja Iskandar Syah: Versi Tun Seri Lanang

Tun Seri Lanang telah menggunapakai nama Raja Iskandar Syah sebagai individu yang didakwa telah mengasaskan Melaka tradisional, dan tidak pernah walaupun sekali beliau menyebutkan nama Parameswara/Permaisura atau yang seumpamanya. Demikian juga sebaliknya, sejarawan mutakhir yang mengkaji tentang anak raja yang berkaitan itu cuma mengguna pakai gelaran Parameswara atau yang sebanding dengannya seperti Paramesvara/Permaisura/Permicuri/ Paramjcura atau sebagainya menurut keserasian sebutan masing-masing, dan mereka tidak mahu menyekutukan nama Raja Iskandar Syah sebagai pengasas Melaka yang asal.

Akhir-akhir ini, barulah terdapat sejarawan mutakhir menggunapakai nama atau gelaran Parameswara/Permaisura yang diinspirasikan daripada sumber-sumber orientalis Barat, dan di samping itu turut menggunapakai nama Raja Iskandar Syah secara silih berganti apabila merujuk sumber-sumber tempatan seperti Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu. Biarpun demikian masih tidak dapat dipastikan dengan tepat dan sahih sama ada Raja Iskandar Syah dan Parameswara/Permaisura yang didakwa sebagai anak raja dari Palembang-Jambi itu adalah individu yang sama. Ada kemungkinan pengasas Melaka tradisional itu dikenali dengan dua nama berbeza tetapi merujuk kepada seorang individu sahaja, ataupun sebaliknya. Sejarawan mutakhir lebih selesa menyebutnya sebagai Parameswara manakala Tun Seri Lanang menyebutnya sebagai Raja Iskandar Syah. Seandainya individu yang diperkatakan itu sebenarnya orang yang sama, namun begitu pengisahan tentang dirinya tidak pula sama semuanya dan nyata terdapat beberapa kelainan antara satu dengan yang lain.

Menurut Tun Seri Lanang lagi, Raja Iskandar Syah sesungguhnya telah melarikan diri dari Singapura ke tanah besar Semenanjung. Walau bagaimanapun sebab musabab baginda meninggalkan pulau tersebut adalah akibat daripada serangan orang-orang Majapahit. Dakwaan tersebut agak berbeza dengan sumber barat (Eredia khususnya) yang mempercayai bahawa serangan tersebut datangnya daripada raja Pahang yang bernaung di bawah kekuasaan Maharaja Siam. Oleh yang demikian ada sejarawan terkini mendakwa bahawa Singapura telah diserang oleh Siam dan ada pula yang percaya bahawa Majapahit yang menyerangnya.

Tun Seri Lanang mendakwa bahawa sebab musabab betara Majapahit menyerang Singapura berpunca daripada angkara belot Penghulu Bendahari di istana Raja Iskandar Syah, iaitu Sang Rajuna Tapa yang telah membukakan pintu kota Singapura untuk memudahkan orang Majapahit masuk dan menyerang. Sikap belot Sang Rajuna Tapa adalah disebabkan beliau mendendami Raja Iakandar Syah yang menyula atau lebih tepat lagi ‘mempercanggaikan’ anak perempuannya di hujung pasar. Hukuman yang dijatuhkan oleh Raja Iskandar Syah itu adalah kerana anak Sang Rajuna Tapa yang dipakainya sebagai ‘gundik raja’ telah difitnah oleh gundik-gundik yang lain kononnya gundik tersebut telah berbuat jahat dengan orang lain.

Selanjutnya, Tun Seri Lanang menyatakan bahawa Raja Iskandar Syah berketurunan daripada keluarga diraja Singapura manakala moyang-moyotnya berasal daripada keluarga diraja Srivijaya di Palembang-Jambi yang bermula dengan Seri Teri Buana (menurut Sulalatus Salatin) ataupun Sang Sapurba Taramberi Teribuana (menurut Sejarah Melayu). Tun Seri Lanang menyatakan bahawa dalam suatu pelayaran dari Palembang, Seri Teri Buana (Sang Nila Utama atau Sang Sapurba Taramberi Teri Buana) telah singgah ke Bintan dan telah berkahwin dengan Wan Seri Beni. Setelah itu, baginda menjelajah lagi hingga tiba di Tumasik dan menamakan pulau itu sebagai Singapura. Dengan itu bermulalah dinasti diraja di pulau tersebut dan didakwa sebagai jalur keturunan Raja Iskandar Syah.

Apabila diusut susunan raja-raja Singapura (menurut catatan dalam Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu) seperti yang tertera di atas, dinasti yang berkenaan telah bermula dengan Seri Teri Buana. Setelah baginda mangkat, anaknya Raja Kecil Besar menggantikannya di atas takhta kerajaan dengan gelaran Paduka Seri Pikrama Wira manakala adiknya Raja Kecil Muda menjadi bendahara dengan gelaran Tun Perpatih Permuka Berjajar yang menurunkan jalur keturunan bendahara-bendahara bagi kerajaan Singapura tua dan Melaka tradisional.

Genealoginya dapat ditelusuri seperti berikut:

Setelah itu, Paduka Seri Pikrama Wira telah digantikan oleh anaknya Raja Muda dengan gelaran Rakna Wikrama (Seri Rana Wikrama menurut Sejarah Melayu) dan setelah itu Damia Raja pula diangkat menjadi raja Singapura dengan gelaran Paduka Seri Maharaja. Apabila Paduka Seri Maharaja mangkat, telah diangkat pula Raja Iskandar Syah menjadi raja Singapura yang kelima dan yang terakhir. Berikutan dengan perbuatan belot Bendahari Sang Rajuna Tapa dan diikuti dengan serangan orang-orang Majapahit, Raja Iskandar Syah telah melarikan diri ke tanah besar Semenanjung dan akhirnya telah mengasaskan Melaka tradisional.

Agak menarik jika diimbas secara sepintas lalu tentang keterangan yang diberikan oleh Tun Seri Lanang mengenai peristiwa menamakan sebuah petempatan sebagai Melaka. Pada masa Raja Iskandar Syah ‘membaruh’ dari Sening Ujung atau Kuala Penajuh (yang sekarang dikenali sebagai Kuala Linggi) menghala ke selatan tanah Semenanjung dan tiba di sebuah petempatan nelayan orang Seletes di kuala Sungai Bertam, baginda pun berburu di kawasan tersebut.

Dalam Sulalatus Salatin, ada dinyatakan bahawa pada masa itu Raja Iskandar Syah menyaksikan anjing perburuannya telah dihambat oleh seekor pelanduk yang terdesak kerana diasak hingga menyebabkan anjing tersebut terjun ke dalam sungai. Pada firasat baginda, dan secara simboliknya petempatan itu amat baik untuk dijadikan sebuah negeri. Baginda pun bertanya kepada Orang Besar-besar yang berada dalam kumpulan penghijrah berkenaan, “… ‘Apa nama kayu itu?’ Maka sembah orang, ‘Kayu Melaka namanya, tuanku.’ Maka titah Raja Iskandar Syah, ‘Jika demikian, Melakalah nama negeri ini.’…”.

Bermula daripada peristiwa tersebut, petempatan nelayan yang dimaksudkan itu mula dikenali sebagai Melaka. Walau bagaimanapun ada beberapa pihak yang menyebutnya dalam pelbagai bunyi. Orang-orang Cina (khususnya Amoy Hokkien) menyebutnya Mo-la-ka, orang-orang Eropah kebiasaannya menuliskan Malaca, Melequa, Melacha, Malacca, Melacca atau Mallaqua. Selain itu, pedagang-pedangang Arab menyebutnya sebagai Malakat (bererti tempat pertemuan) ataupun Mulakat (bererti pasar untuk memperdagangkan barangan). Walau apa dan bagaimana sekalipun Melaka disebut dan dituliskan, namun begitu tidak diragukan lagi bahawa ia merujuk kepada Melaka yang wujud di pantai barat Semenanjung Tanah Melayu yang ada sekarang ini.

Tidak kiralah siapa pun yang mengasaskannya, sama ada Parameswara/Permaisura sebagaimana yang didakwa oleh sejarawan mutakhir (atau Adityavarman jika ia suatu hakikat) ataupun Raja Iskandar Syah sebagaimana yang didakwa oleh Tun Seri Lanang; tetapi yang ingin diperkatakan dalam buku ini ialah tentang peranan yang dimainkan oleh individu yang tersebut dalam pembukaan sebuah negeri yang bernama Melaka. Sesungguhnya baginda telah meletakkan asas yang amat kukuh apabila mendirikan kesultanan Melayu yang dibawa pada mulanya dari Palembang-Jambi, kemudian ke Singapura dan akhirnya berakar-umbi di negeri baru yang dinamakan Melaka itu.

Negeri Melaka serta kesultanan yang diasaskan oleh Parameswara/Raja Iskandar Syah bukan sahaja bertapak dan mengukuh di Melaka tradisional, bahkan selanjutnya pewaris-pewaris takhta kerajaan tersebut terus memperkasakannya lagi. Melaka telah berkembang dengan lebih luas lagi apabila ia berjaya menakluk beberapa buah kerajaan di wilayah-wilayah lain dan sekaligus meletakkan kerajaan-kerajaan/negeri-negeri tersebut di bawah ketuanan kesultanan Melayu Melaka sebagai kerajaan/negeri naungan.

Bertolak daripada hakikat bahawa Melaka tradisional telah pun diwujudkan di kuala Sungai Bertam di sekitar tahun 1400, selanjutnya akan diusut pula kaedah atau proses yang diambil oleh raja-raja, para pembesar serta rakyatnya dalam membina sebuah empayar Melayu Melaka di tanah besar Semenanjung.

Keterangan lanjut mengenai sejarah Melaka sila dapatkan buku Pembinaan Empayar Melaka ditulis oleh Ismail Azman Omar.