Tag Archive | Pesta Kaamatan

Pakaian Tradisional Etnik-etnik di Sabah

Saya ingin berkongsi maklumat dengan para pencari maklumat terutama sekali golongan pelajar mengenai jenis dan bentuk pakaian etnik-etnik yang terdapat di Sabah. Telah ada dan mungkin banyak blog atau laman sesawang yang memaparkan info mengenai pakaian ini tetapi tidak lengkap. Maklumat saya ini juga tidak lengkap meskipun telah beberapa kali saya telah ke Pesta Menuai untuk mengumpul jenis-jenis pakaian tersebut. Namun saya cuba memaparkan semaksimum mungkin. Tetapi saya tidak lagi mampu memaparkan secara detail nama jenis kain dan aksesori yang digunakan oleh mereka. Jika ada yang silap, saya berharap kaum tersebut boleh memaklumkan kepada saya agar para pelajar tidak tersalah maklumat dan membantu saya mengenali beberapa kaum yang saya tidak pasti namanya. Halaman ini akan diperbaiki dari semasa ke semasa, Insyallah.

Kepelbagaian Etnik di Sabah

Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum. Antaranya adalah Kadazandusun, Bajau, Murut, Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.

Perbezaan antara berbagai-bagai suku kaum tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi bahasa, agama, adat istiadat, corak dan pegangan hidup termasuklah pakaian tradisi mereka.

Penggunaan pakaian-pakaian tradisional tersebut boleh dilihat dari dua sudut zaman iaitu zaman klasik dan zaman moden. Pada zaman dahulu, pakaian-pakaian tradisional ini dipakai semasa uparaca-upacara ritual, hari perkahwinan dan sebagai pakaian seharian. Di zaman moden pula pakaian-pakaian tradisional ini hanya dipakai untuk tujuan-tujuan yang tertentu seperti di hari perkahwinan oleh pengantin lelaki dan perempuan (kadangkala juga oleh pengapit pengantin) serta untuk acara-acara kebudayaan.

Kebanyakan suku kaum di Sabah memilih hitam sebagai warna pakaian tradisional mereka. Penggunaan warna hitam asalnya daripada kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Ada setengah-tengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semula jadi di waktu itu.

Kadazandusun

Suku Kadazandusun ini adalah rangkuman dua suka utama iaitu Kadazan dan Dusun, di mana ia masih mempunyai banyak cabang. Terdapat juga perbezaan dari segi pakaian mengikut daerah/residensi atau mukim kediaman Antara subetnik Kadazandusun ialah Murut. Murut ini juga mempunyai sub-subnya yang tersendiri.

Siri Perayaan Utama Malaysia

Buku Siri Perayaan Utama di Malaysia ini merupakan sebuah set buku yang menyenaraikan 11 buah perayaan utama yang disambut oleh masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Ia mengandungi perayaan-perayaan Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Aidil Adha, Tahun Baru Cina, Wesak, Deepavali, Thaipusam, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Maulidur Rasul, Krismas dan Vaisakhi.

Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang sedang membangun dan sering mendapat perhatian dunia. Ini kerana pembangunan ekonomi dan kestabilan politiknya sekalipun penduduknya terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan agama. Keharuman negara ini terserlah apabila ia berjaya menjadi contoh dalam memajukan Islam dan memperbaiki taraf hidup rakyatnya yang beragama Islam tanpa menyekat kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama lain dan tanpa menindas mana-mana kaum di negara ini. Oleh kerana kebebasan beragama yang dipraktikkan maka terdapat pelbagai perayaan yang diraikan oleh penduduk negara ini berdasarkan agama masing-masing. Meskipun terdapat beberapa perayaan berdasarkan agama atau kaum tertentu, Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni telah mengamalkan prinsip 1 Malaysia iaitu menggalakkan penyertaan kaum atau agama lain jika tidak bersalahan dari segi agama atau menghormati kebudayaan dan amalan kaum atau agama lain. Dengan cara ini perpaduan dan sifat kerjasama dapat dipupuk dan dimantapkan demi kelangsungan keharmonian penduduk negara kita yang tercinta ini.

Buku ini adalah sesuai untuk bacaan sekolah rendah dan menengah yang dihiasi dengan gambar-gambar berwarna bagi memudahkan pembaca memahami kebudayaan dan amalan pelbagai kaum di Malaysia. Lebih-lebih lagi kebanyakan perayaan di atas disambut oleh semua kaum di Malaysia, oleh itu pengetahuan mengenainya adalah penting.

Penerbit: Pustaka Dasar Jaya
Tahun: 2012