Archives

MARKISA

Berapa ramai kenal markisa. Mungkin generasi muda tidak begitu pasti tentang buah ini. Ia jarang kelihatan di pasar-pasar buah. Hanya tempat-tempat tertentu sahaja ia boleh didapati. Pada masa saya kecil dulu, selalu makan markisa ketika balik dari sekolah kerana kami akan melalui ladang markisa. Tapi kini ladang itu tiada lagi. Masalah cuaca, serangga perosak atau apa sahaja tidak dapat saya pastikan, kerana ia telah lama musnah.
Markisa atau nama saintifiknya Passiflora edulis adalah sejenis tumbuhan buah yang termasuk dalam famili Passifloraceae. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai passion fruit. Ia juga dikenali dengan nama buah susu berasal dari kawasan tropika di Amerika Selatan. Pokoknya jenis pokok panjat, menggunakan sulur paut yang melilit pada sokongan atau pagar. Markisa boleh ditanam daripada keratan batang atau bijih benih.
Bunganya seakan-akan bunga pokok leletup dan berbulu di sekeliling kelopaknya. Buahnya hijau berkilat semasa muda serta licin berbentuk bujur dan bersaiz 5 hingga 10 cm panjang dan 8 cm lebar. Warna buahnya bertukar menjadi kuning apabila masak. Kulit buahnya setebal 0.3 cm dank eras. Isi di dalam berwarna kuning dan banyak biji-biji hitam. Buah markisa boleh dimakan mentah atau dibuat jus, aiskrim atau kek. Pada masa kini, markisa lebih popular dibuat jus. Pelbagai jenama jus markisa terdapat di pasaran.
Markisa biasanya ditanam secara perladangan di beberapa kawasan di Malaysia seperti Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Khasiat Markisa

Markisa boleh dianggap sebagai buah tempatan yang mempunyai banyak khasiat namun popularitinya tidak begitu menyerlah berbanding rambutan, durian atau manggis. Mungkin khasiatnya lebih hebat daripada pisang atau kiwi. Kandungan zatnya dan manfaat buah markisa berkhasiat sebagai bahan anti kejang, kolitis, penenang, dan anti radang. Gangguan seperti sembelit, insomnia, gangguan haid, batuk, serak, tenggorok kering juga boleh diubati dengan buah ini. Isi buah markisa boleh digunakan untuk menenangkan saraf ketika sakit kepala dan neurastenia (keletihan berlebihan, lemah, tiada nafsu makan, hilang penumpuan, dan susah tidur).
Penelitian kajian makmal di Universiti Florida juga mendapati bahawa ekstrak buah markisa kuning banyak mengandung fitokimia yang mampu membunuh sel kanser. Fitokimia tersebut antara lain polifenol dan karotenoid. Kandungan fitokimia yang lain dalam markisa adalah harman, harmol, harmalin, passaflorine, harmine, karotenoid, viteksin, krisin, dan isoviteksin. Manakala kandungan zatnya antara lain adalah energi, lemak, protein, serat, mineral, kalsium, fosfor, zat besi, karotin, tiamin, riboflavin, niasin, asid askorbat, dan asid sitrat.

Pokok markisa

Markisa membuat lebih mudah tidur

Markisa kaya vitamin B yang menenangkan dan potassium yang merilekskan sistem saraf.
Markisa mempunyai khasiat untuk menyembuhkan gejala alergi kronik dan menguatkan antibodi dalam darah. Markisa juga mampu menyaring, memisahkan, dan membuang racun dari dalam tubuh. Selain itu, ia boleh meningkatkan kesegaran kulit tubuh dan merangsang pertumbuhan sel muda pada kulit wajah. Dari hasil penelitian laboratorium, markisa mengandung vitamin C dan antioksidan.

Rujukan
Ensiklopedia Malaysiana dan pelbagai sumber.