Archives

SEJARAH AWAL PENJELAJAHAN DUNIA

Pendahuluan

Terdapat pelbagai sebab atau faktor yang menyebabkan manusia melakukan aktiviti penjelajahan dan penerokaan ke kawasan-kawasan baru atau yang belum mereka ketahui sebelumnya. Penjelajahan dan penerokaan meskipun berbeza dari segi definisi dengan penjajahan dan penaklukan, namun pada masa dahulu, perkara ini saling mempunyai kaitan antara satu sama lain. Apabila satu bangsa menjelajah satu tempat yang lain dalam masa yang sama mereka menjajah dan menakluk. Ini kerana itu tiada tempat di bumi yang tiada berpenghuni kecuali yang tidak sesuai didiami seperti gurun pasir, kawasan artik dan di puncak gunung. Pada zaman prasejarah manusia berkeinginan untuk menjelajah kerana mencari bahan makanan, diancam kumpulan lain atau kerana perubahan cuaca. Dalam sejarah awal penjelajahan manusia secara tidak langsung banyak mengakibatkan penjajahan dan penaklukan. Lebih 3000 tahun yang dahulu, penjelajah-penjelajah telah mampu meluaskan pengetahuan mereka tentang dunia ini.

Sebab-sebab Penjelajahan

Perdagangan kerapkali menjadi faktor utama tetapi penaklukan dan semangat missionari juga memainkan peranan menggalakkan kegiatan tersebut. Ekspedisi penjelajahan menggunakan perbelanjaan yang terlalu mahal bagi seseorang penjelajah untuk bergerak secara individu. Oleh itu, sumber kewangan selalunya disediakan oleh kerajaan, syarikat perdagangan, organisasi misionari dan pertubuhan geografi.1 Contohnya Pharaoh Necho (610-594 SM) telah mengarahkan sekumpulan pelayar Phoenicia untuk belayar di sekitar Libya. Orang Phoenicia belayar ke selatan melalui timur pantai Afrika. Semasa tahun ketiga pelayaran, mereka belayar melalui Selat Gibraltar dan kembali ke Mediterranean.2 Kebanyakan penjelajahan terdahulu tidak direkodkan atau hanya menjadi legenda yang samar-samar. Persekitaran Laut Mediterranean yang menjadi pusat peradaban Barat dan aktiviti maritim mempunyai kaitan dengan aktiviti penjelajahan orang Mesir, orang Cretan3, Phoenicia dan Greek tetapi catatan tentang aktiviti mereka tidak jelas dan terlalu sedikit diketahui untuk melihat aktiviti penjelajahan mereka secara terperinci. Walau bagaimanapun terdapat juga pengembaraan di luar kawasan Mediterraneam yang direkodkan.4

Orang Mesir adalah bangsa pertama di dunia yang telah memulakan pelayaran ke luar daripada lingkungan kawasan mereka. Firaun Shefru telah membuat pelayaran menyusuri pantai Mediterranean ke bandar Byblos (dalam kawasan Lebanon moden) kira-kira pada 2600 SM dengan 40 buah kapal. Ekspedisi ini sarat membawa pulang kayu balak. Orang Phoenicia adalah pakar dalam mencipta kapal dan peralatannya sejak sebelum 3000 SM lagi. Phoenicia adalah satu bangsa yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang pelayaran dan penjelajahan. Mereka bertutur dalam bahasa Semitik. Mereka tinggal di bandar-bandar sepanjang pantai Lebanon dan Syria hari ini sekitar 700 SM dan belayar menyeberangi Laut Mediterranean. Wang syiling Phoenicia ditemui di Azores. Jajahannya yang paling penting ialah Carthage yang menjadi pusat empayar untuk barat Sicily, pantai Sepanyol dan Afrika Utara.5 Mereka berdagang sekitar Laut Mediterranean dari negara mereka Byblos6, Tyre7, Sidon8 dan Beirut9, dan membentuk jajahan mereka di pantai Afrika Utara yang termasuk juga Carthage. Mereka terkenal dalam pembuatan barang-barang kaca, gading dan pencelup warna ungu.10 Bandar Carthage ini ditemui kira-kira pada 814 SM. Pada abad ke 6 SM ia di bawah perlindungan koloni Phoenecia, barat Mediterranean. Terdapat catatan sejarah yang mengatakan dua orang Carthage melakukan ekspedisi untuk meluaskan pengetahuan geografi mereka di lembah Mediterranean. Sekitar 450 SM, seorang Carthage bernama Himilco belayar ke arah utara Atlantik di pantai Eropah. Walaupun fakta secara detailnya tidak ditemui tetapi sejarawan percaya mereka menemui Britain dan Ireland.11 Pada 146 SM bandar ini diambil alih oleh Rome berikutan dengan Perang Punic (264-146 SM). Perang Punic mengandungi tiga peringkat; Perang Punic Pertama (264-241 SM) berlaku antara Rome dan Carthage yang dimenangi oleh Rome, Perang Punic Kedua (218 SM) Carthage menyerang utara Itali, dan dalam Perang Punic Ketiga (149-146 SM) Carthage dimusnahkan oleh Rome.12 Orang Roman membangunkan semula bandar ini. Antara 439 M dan 533 M ia dikuasai oleh Vandal (Vandal ialah bangsa dari German yang berada di bawah pemerintahan Goth atau Visigoth.) dan kemudian dimusnahkan oleh Arab pada 698 M (Bani Umayyah).13 Pada tahun 1750 M, di Mesir, seorang bangsawan Mesir yang bernama Hannu telah menjelajah Sungai Nil ke Laut Merah dan kemudian ke Punt,14 suatu tempat di timur Afrika. Ekspedisi yang sama telah dihantar oleh Permaisuri Hatshepsut (475-458 SM), Raja Firaun pada abad ke 15 M yang dikatakan seorang pharaoh yang cemerlang sekitar abad ke 5 SM dan utara Sungai Nil telahpun dijelajah pada masa itu.15 Walau bagaimanapun, para sejarawan agak curiga terhadap kisah yang diberitahu oleh Herodotus tentang ekspedisi yang dihantar oleh Pharaoh Necho pada sekitar 600 SM yang mengembara bermula dari Laut Merah, belayar satu pusingan Afrika, dan kembali dengan melalui Selat Gibraltar. Namun ia memberi keyakinan bahawa kisah pelayaran Hannu hanya berlaku pada sekitar 500 SM membawa keluar 60 buah kebuk16 keluar dari Selat Gibraltar dan turun ke barat pantai Afrika ke pantai Guinea, iaitu tempat anak kapal Hannu terserempak dengan gorila.17

 Pada tahun yang sama juga, Raja Firaun, Nefer-hotep I telah merancang membentuk patung Osiris (tuhan kematian) yang baru untuk tujuan itu beliau telah cuba mencari beberapa pencapaian orang terdahulu mengenai pembuatan patung di perpustakaan Heliopolis yang terletak di utara Mesir untuk rekabentuk baru bagi tuhan tersebut agar bentuknya lebih kemas dan tepat.18 Tempat persemayaman Firaun adalah berhampiran dengan Lembah Raja-raja (Valley of The Kings) yang berada di selatan Mesir, manakala kota Heliopolis adalah bandar di muara Sungai Nil. Tanpa kenderaan pada masa dahulu perjalanan antara kedua buah bandar tersebut mungkin mengambil masa berminggu-minggu. Fakta ini menunjukkan telah ada usaha-usaha pengembaraan dan penjelajahan dilakukan. Tamadun Mesir purba mula merosot setelah ditakluki oleh orang Assyria yang meluaskan tanah jajahan mereka di utara Mesopotamia menakluk Mesir pada 671 SM dan memasukkannya dalam wilayah pengaruh Assyria. Tetapi Mesir masih diperintah oleh raja-rajanya sehinggalah ditakluk oleh Rome dan pharaoh yang terakhir Cleopatra mati pada 30 SM mengakhiri pemerintahan pharaoh di Mesir.19 Pada tahun 325 SM, dua orang Greek telah membuka jalan laut baru, satu di barat lautan satu lagi di bahagian tenggara dunia yang diketahui pada masa itu.

Orang Phoenicia telahpun mengembara keluar Laut Mediterranean untuk mengukuhkan perdagangan bijih timah di selatan England.20

Orang Cina telah mula belayar dan menjelajah seawal abad pertama Masihi lagi. Sasaran mereka ialah benua Eropah. Antara tahun 600-900 M, orang Cina telah menjelajah ke seluruh Asia Selatan.21 Mereka telah memulakan penjelajahan dan penerokaan seawal 1207 M yang dimulakan oleh sebuah keluarga pemerintah iaitu Zhou di utara China. Dinasti mereka yang menjadi keluarga diraja menguasai tampuk pemerintahan China selama kira-kira 200 tahun iaitu sehingga 221 SM. Dalam tempoh ini, China telah memperluaskan pengaruh dengan mengadakan kegiatan perdagangan dengan bangsa-bangsa lain. Ekspedisi perluasan diteruskan oleh Dinasti Han (202 – 220 SM).22 Han kemudiannya membuka Laluan Sutera23 (Silk Road) untuk tujuan tersebut dari Cangan ke Itali yang melalui Asia Tengah dan Asia Barat sepanjang kira-kira 8000 km.24 Dinasti Han adalah dinasti keempat China yang dicatatkan dalam sejarah selepas Dinasti Shang 1600-1050 SM, Dinasti Zhou 100-256 SM dan Dinasti Qin (221-206 SM). Dinasti ini mengekalkan kerajaan yang mengamalkan prinsip-prinsip Confucius yang sederhana. Ia adalah sebuah kerajaan yang mewah dengan perdagangan melalui Jalan Sutera (Silk Road).

Orang Asia Tenggara telah belayar ke Madagascar di timur pantai Afrika seawal abad 2000 SM, orang Indonesia ini belayar menggunakan kanu yang membawa kayu manis, bunga cengkih dan rempah-ratus yang lain. Dengan menggunakan angin dan keadaan laut dari Kepulauan Indonesia ke Madagascar dan timur Afrika mereka berjaya membuat pelayaran sejauh lebih 6000 km.25

Penjelajahan Islam

Aktiviti penjelajahan juga bukanlah asing bagi orang Arab. Semenanjung Tanah Arab terletak di sekitar tiga perairan, Teluk Parsi di timur, Lautan Hindi di selatan dan Laut Merah di barat. Dalam catatan penulisan pada abad pertama dan kedua Masihi negara Arab disebut sebagai Jazirah al-Arab dan persempadanannya jelas ditandai dengan laut. Dalam sejarah Arab yang samar-samar, orang Arab menunjukkan penglibatan dengan perniagaan maritim. Hampir 2000 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa (as), karavan yang membawa Nabi Yusuf (as) dari Parsi ke Mesir juga membawa pedagang-pedagang Arab. Saudagar-saudagar Arab daripada zaman yang tidak dicatatkan sibuk menguruskan perniagaan melalui darat dan laut dengan negara-negara jiran.26 Orang Arab memang aktif berdagang sebelum kedatangan Islam lagi. Mereka berkongsi perdagangan di Laut Merah yang semakin bertambah setelah kejatuhan kuasa Rome pada abad ke 4 M dan kemudian menguasai Laluan Rempah di Teluk Parsi. Orang Arab belajar kemahiran pelayaran melalui orang Sasanian yang berulang alik ke selatan China. Orang Arab kemudiannya menjelajah sendiri ke Asia untuk berdagang.27 Dengan ini, aktiviti penjelajahan orang Arab semakin meluas.

Bangsa Arab Yaman pula mempunyai hubungan perdagangan dengan India dan di pantai Afrika Timur sebelum kedatangan Islam selama berabad-abad lamanya. Setelah kedatangan Islam, para pedagang ini merupakan satu daripada penyampai untuk membawa agama baru itu ke kawasan dagang mereka. Oleh itu pada abad ke 8 M, Islam didapati bertapak kukuh di Sarandib, Ceylon dan Ethiopia (timur Afrika).

Pada tahun 758 M, bangsa Arab dan Parsi telah sampai di Canton, China. Berbekalkan matlamat untuk menyebarkan Islam dan seterusnya memperkukuhkan wilayah Islam, pada zaman Bani Umayyah banyak kegiatan penjajahan dan penaklukan dilakukan sehingga ke Eropah (Andalus) dan negeri China. Oleh itu kegiatan perdagangan seterusnya penjelajahan dan pelayaran berkembang pesat dalam wilayah Islam.28 Kedatangan Islam juga telah menyebabkan orang Arab sangat berminat untuk menjelajah untuk menyebarkan dakwah Islam selain untuk mengetahui bahagian dunia lain. Kemajuan ilmu geografi dan astronomi yang dicapai oleh para intelektual Islam memudah dan menambahkan minat orang Arab untuk mengembara. Kebolehan orang Arab ini banyak memberi faedah kepada pelayar Eropah untuk membantu mereka dalam aktiviti pelayaran. Akademi Putera Henry juga dibantu oleh orang Arab. Vasco da Gama juga menggunakan khidmat jurupandu Arab Islam untuk belayar dari Malindi ke India.29 Kecemerlangan pelayaran dan penjelajahan orang Arab ini melahirkan beberapa tokoh pelayaran yang terkenal seperti al-Idrisi, Ibn Battutah dan Sulayman al-Mahri.

Peta pengembaraan al-Idrisi

Al-Idrisi (493-560 H/1100-1165 M) atau nama sebenarnya Abu ‘Abdullah Muhammad ibn Muhammad Hafid Idris al-Haudi al-Hasani, dilahirkan di bandar Cueta dan dibesarkan serta mendapat pendidikan di Cordova. Beliau pernah mengelilingi Andalus, mengembara ke timur Afrika, Asia Kecil, dan dikatakan juga beliau pernah melawat Perancis. Bukunya yang masyhur tentang pelayaran ialah Nazhat al-mustak fi ikhtirak al-afak yang diterjemahkan ke bahasa Latin, Inggeris dan Jerman.30

Ibn Battutah 703-779 H/1304-1377 M atau nama sebenar beliau ialah Muhammad ibn cAbdullah ibn Muhammad ibn Ibrahim ibn Yusuf al-Lawati al-Tanji.31 Beliau dilahirkan di Maghribi. Beliau terkenal sebagai seorang ahli geografi Islam yang banyak membuat pelayaran dari Timur Tengah ke India dan seterusnya China. Antara tempat-tempat yang dikunjunginya ialah Mesir, Sham, Hijaz, Iraq, Turki, India, China, Malabar, Bengal dan Pakistan.32

Sulayman al-Mahri (m 961 H/1554 M) atau nama sebenarnya ialah Sulayman ibn Ahmad ibn Sulayman al-Mahri yang mendapat gelaran guru laut. Beliau pernah menjelajah sepanjang pantai Semenanjung Tanah Arab, timur Afrika dan Asia. Bukunya al-Umdat al-mayriyat fi dabt al-‘ulum al-bahriyat sangat terkenal.33

al-Mas'udi

Selain daripada itu, tokoh-tokoh pelayaran seperti Ibn Majid dan al-Mas’udi juga terkenal. Hasil-hasil tulisan mereka banyak digunakan sebagai panduan dan mempengaruhi penjelajahan orang Barat.34

Penjelajahan Barat

Faktor agama memainkan peranan penting dalam penjelajahan dunia baru oleh orang Barat. Seawal abad ke-5 M, paderi dari Iceland telah mula mengembara untuk mengkristiankan orang Wales, Cornwall dan Perancis. Walau bagaimanapun, ekspedisi yang terkemudian banyak mengakibatkan keganasan dan kemusnahan walaupun ekspedisi itu kononnya atas nama agama. Menurut Rene Abrecht-Carrie, pada abad ke 16 M, Eropah masih lagi primitif, terhad dan kelam kabut dalam idea-idea berkenaan geografi. Mereka menganggap Laut Mediterranean adalah pusat dunia. Orang Arab bertindak sebagai orang tengah menghubung antara Eropah dan Timur. Terdapat juga orang Eropah yang telah berulang alik dari jajahan Maharaja Khan di China. Afrika hanya diketahui sebahagiannya sahaja. Walau bagaimanapun orang Arab lebih banyak menyumbang kepada perkembangan pelayaran Eropah.35

Menurut John R. Hale, kekeliruan ahli geografi Barat adalah bukan sahaja daripada pembuat peta yang jahil, tetapi didorong juga oleh kepercayaan agama yang menambahkan lagi kesalahan ahli kartografi. Bagi tradisi Kristian, Jerusalem terletak di pusat dunia. Pembuat peta zaman pertengahan menggambarkan dunia sebagai sebuah roda yang di tengah-tengahnya adalah kota suci tersebut. Penjelajahan pelayar-pelayar Renaissans banyak mempengaruhi dunia moden. Dari tahun 1420 M hingga 1620 M, perkara-perkara yang mendesak untuk mencari tanah-tanah baru antara Eropah ke tempat-tempat yang belum diketahui menambahkan pengetahuan mereka mengenai planet ini. Penjelajahan telah menyebabkan berlaku aktiviti penjajahan dan penglibatan dengan aktiviti di seberang laut yang mempengaruhi jatuh dan bangun bangsa-bangsa di Eropah. Ia membawa kekayaan baru, produk baru, cara pemikiran baru dan ke arah pembentukan bangsa yang baru. Persoalannya mengapa penjelajahan berlaku serentak dengan Renaissans pada abad ke 12 M atau ke 13 M dan mengapa ia bermula dari Barat iaitu negara-negara Eropah, sebaliknya tidak bermula dari kawasan yang bertapaknya tamadun awal seperti China, India, Jepun di Asia, Islam di Timur Tengah, Afrika dan sebahagian Eropah, bangsa Aztek, Inca dan Maya di Amerika. Tamadun Aztek, Inca dan Maya antara pusat tamadun dunia yang terawal. Empayar Aztek ditemui oleh orang Mexico kira-kira pada 1325 M. Mereka menubuhkan ibu kerajaan di Tenochtitlan di Tasik Texcoco (yang kemudiannya menjadi Bandar Raya Mexico). Aztek banyak menguasai tengah Amerika. Tamadun Inca bangkit pada abad ke 13 dan 14 M di Peru. Beberapa siri perluasan wilayah telah dijalankan oleh Panchacuti Inca Yupanqui (memerintah 1438-71 M) dan penggantinya membina empayar yang mendominasi Andes daripada Equador hingga Chile. Orang Inca membentuk pentadbiran yang kuat dan memaksa rakyat menggunakan bahasa Inca. Dinasti ini runtuh setelah diserang oleh orang Sepanyol.

Kebudayaan awal orang Maya ditemui bertarikh 2600 SM. Dari kira-kira 200 SM, masyarakat berasaskan kuil disusun ke dalam negara bandar. Orang Maya memperkembangkan penulisan hiroglifik, dan telah dahulu menghasilkan kalendar astronomi. Politik dan perdagangan telah maju di bandar selatan dan tengah Mexico. Empayar ini mantap dengan pengaruh yang luas. Tamadun Maya runtuh kira-kira pada 750-900 M tanpa diketahui sebabnya. Semua wilayah dan kerajaan tersebut mempunyai tamadun dan kekayaan yang hampir sama banyak. Tetapi ketokohan dalam penjelajahan telah diambil oleh Portugal, Sepanyol dan kemudiannya England, Perancis dan Belanda yang semuanya berada dalam kawasan yang terpinggir. Dua perkara yang perlu diambil perhatian pada permulaan ialah pertama, berkaitan dengan salah faham apabila bercakap mengenai penjelajahan, perkataan ini memberi erti mencari sesuatu yang baru iaitu sesuatu yang belum diketahui sebelumnya. Tetapi penduduk Amerika dan Asia telah mengetahui tentang kawasan mereka. Lebih-lebih lagi jumlah tanah yang dijelajah semasa Renaissans telah mengembangkan penduduk-nya, kadang-kadang kedudukannya dalam buku-buku dan peta-peta menggambarkan negara mereka dan maklumat ini telah diambil manfaat oleh pelajar-pelajar Eropah yang terkemudian.

Perkara yang kedua mestilah difahami pengembaraan itu sendiri bukanlah sesuatu yang baru kepada orang Eropah. Dalam abad ke 13 M, Giovanni de Plano Carpini, Willem van Rujsbroek dan Marco Polo telah menembusi Asia. Orang Scandinavia (penduduk yang berasal dari utara Eropah iaitu Norway, Sweden dan Denmark sekarang) dalam Zaman Gelap menghantar Columbus ke Amerika. Apa yang baru tentang abad 1420 M hingga 1620 M adalah perjalanan yang sistematik oleh kerajaan-kerajaan dan syarikat-syarikat perdagangan. Pada zaman-zaman sebelumnya penjelajahan berlaku secara persendirian dan pengembaraan dilakukan secara bebas, Eropah telah bergerak kepada zaman penjelajahan dengan tujuan yang khusus. Belum terdapat individu yang belayar agak jauh menjelajah dengan begitu luas dalam masa yang singkat seperti penjelajahan yang dilakukan pada zaman Renaissans. Renaissans di Eropah memerlukan rempah dan barang-barang berharga. Sebelum itu, pedagang-pedagang secara individu telah melihat emas dan sutera, lada hitam dan pakaian di Timur Jauh pada Zaman Pertengahan. Namun hanya pada abad ke 15 M barulah ekspedisi penjelajahan diusahakan oleh beberapa kerajaan Eropah.36

Nota kaki

1. Encyclopedia international, vol. 6, hlm. 593.

2. Brewer et al., Encyclopedia of world history, hlm. 146.

3. Orang Cretan ialah penduduk dari Afrika Utara dan Timur Tengah yang datang menetap di Pulau Crete kira-kira pada 3000 SM dengan membawa kemahiran untuk menghasilkan gangsa.

4. Encyclopedia international, vol. 6, hlm. 593.

5. Brewer et al., Encyclopedia of world history, hlm. 146.

6. Byblos adalah sebuah bandar pelabuhan di persisiran pantai Laut Mediterranean dalam kawasan Lebanon sekarang.

7. Tyre juga terletak di Lebanon sekarang yang namanya kekal hingga kini.

8. Sidon terletak di antara Byblos dan Tyre juga merupakan bandar pelabuhan.

9. Beirut (Byrouth) menjadi ibu negeri Lebanon kini.

10. Anglish et al., Facts on your finger tips, hlm. 169.

11. Brewer et al., Encyclopedia of world history, hlm. 146.

12. Anglish et al., Facts on your finger tips, hlm. 174.

13. Strange worlds amazing places, Reader’s Digest Association Limited, London, 1994, hlm: 392.

14. Brewer et al., Encyclopedia of world history, hlm. 145.

15. Anglish et al., Facts on your finger tips, hlm. 170.; Encyclopedia international, vol. 6, hlm. 593. Perkataan pharaoh merujuk kepada istana yang dimiliki oleh Firaun yang kemudian dikaitkan dengan pemerintah istana tersebut.

16. Sesetengah buku seperti Encyclopedia of world history menyebut 40 buah. Kebuk ialah kapal yang diperbuat daripada kayu balak yang ditebuk.

17. Encyclopedia international, vol. 6, hlm. 593.

18. Cyril Aldred, The Egyptians, Thomas dan Hudson, London, 1961, hlm: 15.

19. Stewart C. Easton, A survey of ancient, medieval and modern history, Barnes & Noble, Inc, New York, 1968, hlm. 13.

20. Encyclopedia international, vol. 6, hlm. 593.

21. Struan Reid, The silk and spices routes: Exploration by sea, Belitha Press UNESCO Publishing, t. th., hlm: 12.

22. Ibid., hlm. 12. 23. Orang Cina adalah bangsa terawal di dunia mengenali sutera sejak 2640 SM. (Anglish et al., Facts on your finger tips, hlm. 187.)

24. Paul Strathern, The silk and spice routes: Exploration by land, Belitha Press UNESCO Publishing, t. th., hlm. 14.

25. Reid, The silk and spices routes: Exploration by sea, hlm. 15.

26. Syed Sulaiman Nadvi, The Arab navigation, Sh. Muhammad Ashraf, Kashmiri Bazar, Lahore, 1966, hlm. 1.

27.  Reid, The silk and spices routes: Exploration by sea, hlm. 24.

28. Dr. Anuar ‘Abdul al-’Alim, Ibn Majid al-mallah, Dar al-Kitab al-’Arabi li al-Taba’at wa al-Nashr, Iskandariah, 1967. hlm. 29.

29. Syed Sulaiman Nadvi, The Arab Navigation, hlm.70.; Mutmainaa.com, Ibn Abdul Majeed, 2000, http://www.geocities.com/mutmainaa/people/ibn_abdul_majeed.html (22 Januari 2004); David Birmingham, The great ones: Vasco da Gama, 2001, http://www.iexplore.com/res/explorer_gama.html (22 Januari 2004)

30. al-Zirikli, Khayruddin, al-A’lam, juz, 7, Jami’ al-Huquq Mahfuzah Muallif, 1969; Ahmad ‘Atiyah Allah, al-Qamus al-Islami, jil. 1, Maktabat al-Nahdah al-Misriyah, Qahirah, 1963, hlm. 10.

31. al-Zirikli, al-A’lam, juz, 4, hlm. 114; al-Jabi, Bassam ‘Abd al-Wahhab, Mu’jam al-A’lam, al-Jaffan wa al-Jabi, Cyprus, 1987, hlm. 740; ‘Umar Ridha Kahalah, Mu’jam al-muallifin, juz. 3, Muassasat al-Risalat, Beirut, 1977, hlm. 451.

32. al-Zirikli, al-A’lam, juz, 4, hlm. 114; al-Jabi, Mu’jam al-a’lam, hlm. 740; Talal Harb, Rihlat Ibn Battutah al-mussammat tuhfat al-nazzar fi ghara’ib al-amsar, Dar al-Kutub al-Alamiyah, Beirut, 2000, hlm. 7.

33. al-Jabi, Mu’jam al-A’lam, hlm. 314; Ahmad ‘Atiyah Allah, al-Qamus al-Islami, jil. 3, hlm. 468.

34. Net Muslim.com, Islamic contributions to science and math, 2001, http://www.netmuslims.com/info/geography.html, (30 Januari 2004).

35. Rene Albrecht-Carrie, Europe 1500-1848, Littlefield, Adams & Co, Totowa, New Jersey, 1967, hlm. 39

36. John R. Hale, Age of exploration, Time-Life International (Nederland), New York, 1966, hlm. 31 & 11-12.

Dipetik daripada Maruwiah Ahmat, Penjajahan Portugis dan Sepanyol ke atas Asia Tenggara, 2006, Karisma.